ISKANDAR PUTERI: Bermain dengan 10 pemain tidak menjadi penghalang buat Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamer kebangkitan membenam Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan liga, sekali gus mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan 45 mata.
Pada perlawanan itu, anak buah Xisco Munoz tampak garang melancarkan serangan ke arah kubu lawan dan hampir mencipta jaringan seawal minit keempat namun percubaan Jairo Da Silva gagal menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.
JDT berjaya merobek gawang The Cats pada minit kesembilan hasil jaringan Bergson Da Silva namun gol itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran dilakukan Jairo sebelum gol dihasilkan.
Duo penyerang kelahiran Brazil itu bersilih ganti melancarkan serangan ke kubu lawan, namun tidak berupaya melakukan percubaan berbahaya bagi memecahkan kebuntuan.
Ketika JDT rancak menguasai permainan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mengejutkan pasukan tuan rumah apabila Kuchng City menjaringkan gol pembukaan menerusi Scott Woods hasil umpanan Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-40.
Semakan VAR yang dilakukan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali mendapati larian yang dilakukan Ramadhan bukan berada di posisi ofsaid dan membenarkan jaringan itu dikira.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT melancarkan serangan balas dengan melakukan percubaan tepat ke arah gol menerusi rembatan Ager Aketxe dan Oscar Arribas, namun berjaya diselamatkan Haziq.
Bersambung babak kedua, SSI bergema apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-48, namun Razlan membatalkan keputusan itu setelah semakan VAR mendapati tiada kekasaran dilakukan Jimmy Raymond terhadap Nacho Mendez.
Razlan sekali lagi menjadikan VAR sebagai rujukan apabila melayangkan kad merah kepada Nacho Insa pada minit ke-55 setelah mendapati pemain kelahiran Sepanyol itu menanduk kepala Woods.
Biarpun tempang bermain dengan 10 pemain, JDT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Mendez yang melakukan sepakan voli dari luar kotak penalti menewaskan Haziq pada minit ke-57.
Tujuh minit kemudian, Harimau Selatan berada di hadapan setelah hantaran lambung Manuel Hidalgo disambut Bergson di dalam kotak penalti sebelum melakukan sepakan voli dari jarak dekat pada minit ke-64.
The Cats cuba menggunakan kelebihan yang dimiliki namun tampak bergelut untuk menembusi benteng pasukan tuan rumah bagi menyamakan kedudukan namun tiada jaringan berjaya dijelmakan.-UTUSAN










