Gueye wira Senegal julang piala AFCON

Gueye wira Senegal julang piala AFCON

PEMAIN Senegal menjulang Piala AFCON selepas menumpaskan Maghribi 1-0 dalam aksi final, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Senegal menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan tuan rumah Maghribi 1-0 dalam aksi final yang penuh kontroversi, awal pagi tadi.

Sebelum mengesahkan kejuaraan, perlawanan dicemari dengan tindakan Senegal yang memboikot perlawanan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Maghribi.

Semua pemain Senegal bertindak keluar padang dan memasuki bilik persalinan, selepas 14 minit mereka akur dan kembali menyambung perlawanan dan akhirnya muncul juara.

Gol kemenangan Senegal dijaringkan oleh pemain tengah, Pape Gueye, pada minit ke-94 selepas bintang Maghribi, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Pengendali Senegal, Pape Bouna Thiaw, mengarahkan pemainnya keluar padang, namun tonggak utama, Sadio Mane, berjaya memujuk mereka untuk kembali meneruskan perlawanan.

Sepakan penalti berkenaan diberikan selepas semakan VAR oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, susulan Diaz dijatuhkan oleh bek kiri Senegal, El Hadji Malick Diouf.

Apabila perlawanan disambung, Diaz menggunakan gaya penalti ‘panenka’, namun percubaannya mudah ditangkap penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Senegal, yang kini memenangi dua daripada tiga edisi terakhir AFCON, turut menamatkan rekod 27 perlawanan antarabangsa tanpa kalah Maghribi.

“Kami kecewa untuk seluruh rakyat Maghribi. Apabila memperoleh penalti pada minit terakhir, kemenangan seolah-olah sudah di depan mata, tetapi akhirnya bola sepak menghukum anda.

“Tahniah kepada Senegal, walaupun apa yang dipamerkan sebagai bola sepak Afrika agak mengecewakan, mengambil kira segala yang berlaku ketika penalti diberikan,” kata pengendali Maghribi, Walid Regragui.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN