Diaz, Bono taruhan Magribi berdepan Nigeria

Diaz, Bono taruhan Magribi berdepan Nigeria

BRAHIM Diaz (kiri) menjadi harapan Maghribi dalam aksi menentang Nigeria dalam aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Brahim Diaz yang telah menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut menjadi taruhan Maghribi untuk merobek gawang Nigeria dalam aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi esok.

Kapten pasukan dan Pemain Terbaik Afrika semasa, Achraf Hakimi, kembali cergas sekali gus memberi berita gembira buat kem Maghribi.

Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou pula bakal menjadi benteng terakhir selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan hanya dibolosi satu gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan dua perlawanan kalah mati dan gol tersebut hadir menerusi sepakan penalti.

Bono meneka dengan tepat arah sepakan penalti Lassine Sinayoko dari Mali, namun gagal menghalang rembatan rendah deras itu daripada menggegar jaring.

Pertemuan teratas Kumpulan A itu berakhir 1-1, satu-satunya perlawanan di mana tuan rumah Maghribi gagal mencatat kemenangan ketika mereka memburu gelaran AFCON kedua, sejak 50 tahun lalu ketika meraih kejayaan sulung.

“Saya enggan menamakan individu tertentu, tetapi Bono adalah tonggak utama dalam skuad kami. Dia antara penjaga gol terbaik di dunia.

“Diaz pula menunjukkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan dan sentuhan penyudahnya diharapkan berterusan hingga perlawanan akhir,” kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.

Sejak permulaan AFCON 2024 di Ivory Coast hingga kemenangan suku akhir ke atas Cameroon pada Jumaat lalu, Maghribi mengharungi 29 perlawanan antarabangsa kompetitif dan persahabatan.

Bono beraksi dalam kebanyakan perlawanan tersebut, dengan pasukan Atlas Lions hanya dibolosi lapan gol, satu rekod mengagumkan memandangkan banyak perlawanan berprofil tinggi melibatkan Piala Dunia atau AFCON.

Beliau dibolosi enam kali pada 2024, hanya dua gol dalam 12 perlawanan tahun lalu, serta mencatat rekod tanpa bolos menentang Tanzania dan Cameroon dalam perlawanan kalah mati AFCON bulan ini.

Bono turut memuji pertahanan Maghribi, termasuk kapten Achraf Hakimi dari Paris Saint-Germain dan bek Manchester United, Noussair Mazraoui, atas deretan rekod tanpa bolos yang dicatat.

“Saya berasa sangat yakin dengan Achraf, Noussair, Nayef (Aguerd) dan Adam (Masina) di hadapan saya. Terima kasih juga kepada rakan sepasukan lain yang turun membantu apabila kami berada di bawah tekanan.

“Semua pasukan separuh akhir layak mara dan masing-masing memiliki pemain yang hebat. Harapan saya ialah Maghribi menjulang trofi pada Ahad,” kata Bono.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN