LONDON: Tiga bintang utama golf dunia iaitu Jon Rahm, Cam Smith dan Bryson DeChambeau menegaskan pendirian untuk kekal bersama LIV Golf walaupun Jelajah PGA membuka ruang kepulangan pemain elit bermula musim depan.
Ketiga-tiga juara kejohanan utama tersebut memilih untuk menolak peluang menyertai semula PGA di bawah Program Ahli Kembali, berbeza dengan tindakan Brooks Koepka yang sudah memohon untuk kembali ke jelajah tradisional itu.
PGA sebelum ini mengumumkan hanya pemain yang memenangi kejohanan utama atau The Players Championship sejak 2022 layak memohon penyertaan semula, sekali gus membuka laluan terhad kepada bekas pemain LIV Golf.
“Saya tidak merancang untuk ke mana-mana dan fokus saya sepenuhnya bersama liga ini serta pasukan saya tahun ini. Saya terikat kontrak sehingga 2026 dan amat teruja dengan musim ini,” kata Rahm.
Smith pula menegaskan kesetiaannya kepada LIV Golf sambil menyifatkan dirinya gembira dengan peranan sebagai kapten pasukan dan perkembangan liga itu terutama di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah PGA, Brian Rolapp, bagaimanapun memaklumkan pemain yang layak mempunyai tempoh sehingga 2 Februari ini untuk mengemukakan permohonan penyertaan semula.
Keputusan Rahm, Smith dan DeChambeau dipercayai dipengaruhi kos tinggi yang perlu ditanggung Koepka, termasuk kehilangan ekuiti pemain bernilai puluhan juta dolar serta sumbangan kebajikan wajib sebanyak AS$5 juta (RM20 juta). – AGENSI










