Beri ruang FAM baiki kelemahan

Beri ruang FAM baiki kelemahan

Bangunan Wisma FAM di Kelana Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peletakan jawatan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu lalu dilihat sebagai langkah memberi ruang kepada badan induk itu menyusun semula pengurusan dan pentadbiran secara lebih berkesan.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, semua pihak tidak perlu melatah sebaliknya bertenang dalam menilai situasi berkenaan demi kepentingan bola sepak negara.

PBMM yang juga ahli gabungan FAM melihat, tindakan itu boleh dianggap sebagai peluang terbaik untuk FAM melakukan penambahbaikan menyeluruh dalam aspek pentadbiran dan tadbir urus.

“Semua pihak perlu bertenang dan melihat perkara ini secara rasional. Apa yang berlaku sebenarnya membuka ruang kepada FAM untuk kembali menyusun pengurusan dan pentadbiran dengan lebih efisyen serta baik,” katanya.

Firdaus berkata, perkembangan itu juga wajar dilihat dari sudut positif kerana setiap krisis yang berlaku mampu menjadi titik tolak kepada perubahan lebih besar.

“Apa yang berlaku ini perlu diambil dari sudut positif demi kebaikan bola sepak negara. Kita mahu melihat sistem yang lebih kukuh dan diyakini semua pihak,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru semua pihak supaya memberi ruang dan masa kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian serta penyusunan semula terhadap FAM.

Katanya, AFC mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam membantu persatuan bola sepak ahli memulihkan struktur pentadbiran termasuk membabitkan isu integriti.

“AFC ada pengalaman dan kepakaran untuk membantu memulihkan kembali imej serta reputasi FAM yang sedikit tercalar susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara. Jadi beri mereka ruang untuk lakukan proses penilaian dengan teliti,” katanya.

Rabu lalu, kesemua Exco FAM melepaskan jawatan secara kolektif demi menyelamatkan bola sepak negara daripada digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran kelemahan urus tadbir susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN