PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diyakini mampu membawa perubahan besar dalam usaha melahirkan bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, penyerahan tanggungjawab teknikal dalam pelaksanaan NFDP kepada badan induk itu juga langkah terbaik untuk memastikan objek program tercapai.
Katanya, pembentukan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal juga satu langkah tepat bagi memastikan program pembangunan itu mencapai objektif seperti diharapkan.
“Ini adalah jalan terbaik untuk memastikan NFDP mencapai matlamatnya. Semua pihak harus menyokong usaha ini dan membantu sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
NFDP kini berada di landasan baharu apabila pengurusan teknikal sepenuhnya diserahkan kepada FAM, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) menguruskan aspek pengurusan dan pentadbiran.
Bagaimanapun, Zulakbal turut mengakui bahawa pengurusan di bawah dua entiti secara serentak berpotensi membawa risiko, namun boleh dikawal melalui perancangan rapi dan kerjasama erat antara FAM dan MSN.
“Model pengurusan sebegini memang ada risiko, tetapi sejak awal penubuhan NFDP, ia memang melibatkan gabungan MSN dan FAM.Setiap entiti membawa peranan tersendiri yang saling melengkapi,” katanya.
Mengenai keberkesanan kerjasama dua entiti itu untuk pembangunan bola sepak akar umbi, Zulakbal menegaskan bahawa kejayaan hanya dapat dinilai berdasarkan data dan bukti yang akan dikumpul selepas pelaksanaan program berjalan beberapa tahun.
“Kita baru bermula. Mungkin ia akan berjaya, mungkin juga gagal. Apa yang penting ialah kita memulakan sesuatu yang baik dan memastikan ia dilaksanakan dengan teratur serta berasaskan data yang kukuh,” tambahnya.
FAM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP yang baharu bagi menggantikan Oscar Francisco Gonzalez, berkuat kuasa 1 Disember lalu.-UTUSAN










