KUALA LUMPUR: Malaysia terus kempunan meraih gelaran dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas pasangan No.2 dunia Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir seawal pusingan kedua, semalam.
Biarpun rekod pertemuan berpihak 4-0 kepada Pearly-Thinaah, itu bukan jaminan apabila mereka tewas 24-26, 17-21 kepada gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di hadapan penyokonmg sendiri.
Pearly berkata, kekalahan itu bukan disebabkan tekanan beraksi di laman sendiri, sebaliknya lawan tampil lebih bersedia selepas tewas kepada mereka pada pertemuan terakhir di final Sukan SEA Thailand 2025, bulan lalu.
“Ada rasa geram juga (kalah) tetapi ini memang normal untuk atlet. Mereka (Indonesia) banyak membuat persiapan untuk perlawanan hari ini (semalam) dan mereka bermain lebih baik.
“Ini yang perlu kami terima dan kami perlu berbincang dengan jurulatih tentang bagaimana kami harus mengubah permainan,” kata Pearly selepas perlawanan.
Kekalahan juara Sukan SEA Thailand itu menyaksikan kemarau gelaran beregu wanita negara berlanjutan sejak enam dekad yang mana kali terakhir dimenangi oleh Teoh Siew Yong-Rosalind Singha Ang pada edisi 1965.
Dalam pada itu, Pearly menegaskan beliau enggan meratapi kekalahan berkenaan, sebaliknya mahu membina semula keyakinan di gelanggang bersama Thinaah.
“Perancangan seterusnya adalah membina semula keyakinan. Yang penting strategi kami. Jangan disebabkan kekalahan ini kami kecewa dan mental jatuh.
“Kami tidak seharusnya mengalah, sebaliknya berbincang semula dengan jurulatih dan berlatih lebih keras untuk mendapatkan keyakinan semula,” katanya.
Pearly-Thinaah seterusnya akan berlepas ke New Delhi bagi aksi Terbuka India menentang pasangan tuan rumah Kavipriya Selvam-Simran Singhi yang membuka tirai saingannya pada Selasa depan.-UTUSAN










