BAM buru jurulatih perseorangan

BAM buru jurulatih perseorangan

Kenneth Jonassen mahu memastikan sektor perseorangan terus diperkasakan. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merancang memperkukuh struktur kejurulatihan perseorangan bagi memastikan hasrat melahirkan pemain berkualiti dalam sektor itu menjadi kenyataan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, penambahan jurulatih sangat penting bagi memastikan laluan pembangunan pemain dari junior ke senior berjalan lancar.

Menurut Jonassen, pihaknya merancang menambah tiga jurulatih bagi membimbing pemain lelaki, wanita dan remaja bagi memastikan struktur kejurulatihan lebih lengkap dan berkesan sepanjang laluan pembangunan pemain.

Menurut beliau, kriteria utama pemilihan jurulatih bukan soal umur atau status bekas pemain antarabangsa, tetapi pengalaman sebenar membimbing pemain dan menunjukkan hasil di peringkat antarabangsa.

“Yang penting adalah apa yang ada dalam resume, serta tahap pemain yang telah dibimbing kerana itu lebih bermakna daripada umur semata-mata,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, semalam.

Ketika ditanya mengenai pencarian jurulatih berkenaan, Jonassen mengesahkan dua daripadanya hampir bersetuju manakala seorang dalam proses penilaian.

“Saya merancang untuk menambah dua hingga tiga jurulatih lagi dalam barisan kita, dan kita hampir bersetuju dengan dua daripada mereka, manakala seorang lagi masih dalam proses.

“Calon-calonnya campuran jurulatih antarabangsa dan tempatan. Bagi saya, kualiti jurulatih dan pengalaman serta apa yang telah dicapai penting untuk beberapa bidang tertentu yang saya cari jurulatih.” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan ketua jurulatih perseorangan lelaki remaja, Datuk Tey Seu Bock dinaikkan pangkat mengendali skuad senior.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN