PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menegaskan sebarang langkah untuk campur tangan sementara dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya akan dibuat sekiranya berlaku peletakan jawatan rasmi oleh barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, selagi Exco FAM masih memegang jawatan, AFC tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan atau perubahan terhadap struktur pentadbiran sedia ada.
“Jika mereka tidak meletakkan jawatan, FAM akan terus berjalan seperti biasa. Kami tidak boleh buat apa-apa. Tetapi sekiranya berlaku kekosongan, barulah kita perlu mencari jalan untuk membentuk satu pengurusan sementara sehingga pemilihan baharu diadakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sekiranya Exco FAM meletakkan jawatan secara beramai-ramai, AFC bersedia membantu dalam tempoh singkat bagi memperbaiki aspek urus tadbir, namun campur tangan itu bukan bersifat jangka panjang.
“Tempoh itu bergantung kepada apa yang perlu diperbetulkan. Kalau sedikit perubahan sahaja, masa yang diperlukan tidak lama. Berdasarkan pengalaman di negara lain, biasanya tempoh pengurusan sementara adalah antara tiga hingga sembilan bulan,” jelasnya.
Windsor turut menjelaskan, sekiranya satu jawatankuasa sementara perlu dibentuk, AFC lazimnya akan melantik individu yang benar-benar bebas daripada pengurusan terdahulu, termasuk pakar dalam bidang undang-undang atau kewangan.
Namun, katanya, pembentukan jawatankuasa itu masih bergantung kepada keperluan semasa memandangkan FAM masih mempunyai Setiausaha Agung serta Presiden Kehormat yang boleh meneruskan tugasan harian.
“Masa ini terlalu awal untuk kita buat keputusan. Kita masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kekosongan jawatan dalam FAM,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Exco FAM bersedia melepaskan jawatan secara ‘berjemaah’ jika langkah drastik itu menjadi pilihan terbaik bagi mengelakkan badan induk bola sepak negara digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).-UTUSAN










