BANGKOK: Kem wushu membutirkan emas pertama dalam sukan itu di Sukan SEA Thailand 2025 menerusi trio Mandy Cebelle Chen, Sydney Sy Xuan Chin dan Loh Ying Ting menerusi acara duilian wanita tanpa senjata, hari ini.
Skuad negara meraih 9.633 mata untuk menewaskan trio Indonesia yang mengutip 9.620 mata, manakala Filipina menduduki tempat ketiga dengan 9.590 mata manakala Myanmar di tangga keempat (9.493) daripada empat negara yang bertanding.
Menurut Ying Ting, keserasian dalam pasukan memainkan peranan penting untuk menghasilkan persembahan terbaik di gelanggang pertandingan, sekali gus membolehkan Malaysia mengutip emas pertama dalam acara itu.
“Kami ada keserasian yang sangat baik dan saling mendorong semasa latihan. Saya gembira kerana berjaya menampilkan persembahan terbaik hari ini,” kata Ying Ting.

Selain itu, Ying Ting turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Wushu Malaysia, presiden Datuk Chong Kim Fatt, jurulatih Zhang, Chin dan Luo, serta Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), keluarga dan rakan-rakan.-UTUSAN










