Skuad wanita terlepas peluang ke final

Skuad wanita terlepas peluang ke final

Aksi pemain beregu negara, M. Thinaah-Pearly Tan ketika menentang beregu Indonesia, Rachel Allessya Rose dan Febi Setianingrum pada separuh akhir acara berpasukan wanita di Sukan SEA Thailand 2025 di Universiti Thammasat di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad badminton wanita negara terlepas peluang untuk melangkah ke final acara berpasukan apabila tumpas 2-3 kepada Indonesia di separuh akhir, sebentar tdi.

Dalam aksi di Gymnasium 4 Thammasat University itu, Malaysia menurunkan K. Letshanaa sebagai pemain perseorangan wanita pertama untuk mendapatkan mata sulung.

Bagaimanapun, namun wakil perseorangan utama negara itu gagal memberi tentangan apabila tumpas straight set 9-21, 10-21 kepada Putri Kusuma Wardani

Bagaimanapun, beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meniupkan semula api kebangkitan  apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi aksi rubber set.

Gandingan itu dipaksa bermandi peluh bermain tiga set menentang Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum sebelum menang 21-14, 17-21, 21-16 dalam tempoh 59 minit.

Bercakap selepas perlawanan, Thinaah menganggap temasya Sukan SEA adalah satu pentas yang cukup besar biarpun dia dan Pearly pernah beraksi di peringkat Olimpik.

“Apabila bermain dalam kejohanan seperti ini, kami perlu benar-benar fokus. Tidak kira sama ada Kejohanan Jelajah Dunia (World Tour), Olimpik, atau Sukan Asia, Sukan SEA tetap kejohanan besar dan istimewa bagi kami. Kami mahu buat yang terbaik tanpa penyesalan,” katanya.

Semangat kebangkitan itu diteruskan oleh perseorangan kedua, Wong Ling Ching yang melakar kejutan dengan menumbangkan pemain ranking No. 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung dalam pertarungan selama satu jam 6 minit dengan keputusan 22-20, 15-21, 21-16, sekali gus meletakkan Malaysia mendahului 2-1.

Namun, hasrat Malaysia untuk menempah aksi lebih selesa tidak kesampaian apabila gandingan kedua negara, Go Pei Kee-Toh Ee Wei gagal memanfaatkan peluang tersebut sebelum tumbang 10-21, 9-21 kepada gandingan ranking ke-59 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Harapan yang diletakkan kepada Siti Zulaikha Azmi untuk membawa Malaysia ke final akhirnya berkecai apabila pemain muda itu tumpas 18-21, 16-21 kepada Mutiara Ayu Puspitasari.

Dengan kekalahan itu, skuad berpasukan wanita negara sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa, manakala Indonesia akan berdepan tuan rumah, Thailand untuk penentuan pingat emas.

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN