Skuad lelaki tepati ramalan ke final acara berpasukan

Skuad lelaki tepati ramalan ke final acara berpasukan

Aksi pemain beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang beregu Thailand, Supak Jomkoh dan Peeratchai Sukphun pada perlawanan Pusingan Akhir Berpasukan - Separuh Akhir Lelaki sempena Sukan SEA Thailand 2025 di Universiti Thammasat di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad badminton lelaki selangkah menamatkan kemarau emas selama dua dekad dalam acara berpasukan di Sukan SEA apabila mara ke final selepas menumpaskan Thailand 3-1 di separuh akhir, sebentar tadi.

Berdepan tuan rumah yang mendapat sorakan padu penyokong di Gymnasium 4 Thammasat University, Malaysia ketinggalan 0-1 selepas Leung Jun Hao tumpas 15-21, 15-21 kepada pemain No.1 dunia, Kunvalut Vitisarn.

Skuad negara menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan menumpaskan Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun dengan straight set 21-18, 21-19 untuk melegakan kem negara.

Wooi Yik Ketika ditemui selepas perlawanan mengakui percaturan jurulatih menjadi selepas mengandingkan semula dirinya dengan Aaron bagi mencari mata buat skuad kebangsaan.

“Aksi ini lagi baik, saya akan berikan yang terbaik tidak kira digandingkan dengan siapa pun, apa yang penting kita dapat sumbangkan mata untuk Malaysia,” katanya yang digandingkan dengan Man Wei Chong pada suku akhir, semalam.

Malaysia yang meletakkan sasaran emas pada edisi kali ini berada dihadapan 2-1 apabila perseorangan kedua, Justin Hoh mempamerkan permainan kemas untuk menumpaskan Panitchaphon Teeraratsakul 21-10, 21-17.

Mata kemenangan Malaysia dihasilkan oleh beregu kedua negara Man Wei Chong- Tee Kai Wun yang berjaya menumpaskan Dechapol Puavaranukroh-Pakkapon Teeraratsakul dalam pertarungan tiga set 21-14, 18-21, 21-17.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan ialah pada Sukan SEA 2005 di Manila yang mana pada aksi final ketika itu, skuad negara menumpaskan Indonesia 3-2.

Pada aksi final yang akan berlangsung Rabu ini, skuad negara akan berdepan Indonesia selepas mereka menumpaskan Singapura 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir, hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN