PETALING JAYA: Harapan skuad Bawah 23 (B-23) negara untuk mendapatkan khidmat Fergus Tierney pada Sukan SEA 2025 Thailand berkecai apabila Sabah FC memutuskan untuk tidak melepaskan pemain berusia 22 tahun itu.
Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, keputusan itu dibuat selepas ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny mahu memberi tumpuan kepada persiapan final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 14 Disember ini.
Menurut Mohd Joh, pihak pengurusan sebenarnya mencadangkan agar Tierney dilepaskan seketika bagi membantu skuad negara menentang Laos pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.
Bagaimanapun katanya, cadangan tersebut tidak dipersetujui de Marigny yang mahu Tierney kekal bersama The Rhinos sepanjang tempoh persiapan akhir sebelum berdepan detik bersejarah kelab tersebut.
“Cadangan kami (pengurusan) adalah supaya Tierney dilepaskan untuk satu perlawanan iaitu membantu skuad negara berdepan Laos dan selepas itu dia kembali bersama kelab. Namun, jurulatih tetap mahu Tierney bersama pasukan dan fokus kepada aksi final (Piala FA).
“Bagi urusan final ini mereka (jurulatih) sudah maklumkan awal bahawa jika Sabah ke final, Tierney tidak akan dilepaskan. Ia bukan tanggungjawab saya sebab kami sudah meletakkan kepada ketua jurulatih satu sasaran.
“Jadi itu salah satu apa yang dia mahu dan oleh kerana ini adalah komitmen dia, maka saya tidak mahu masuk campur soal keputusannya. Bagi kami, pasukan negara dan kelab kedua-duanya penting, tetapi apa pun dia (jurulatih) pun ada sasaran sendiri.
“Kami menghormati keputusan ketua jurulatih dan secara ringkasnya, Sabah memerlukan khidmat Tierney,” katanya.
Tierney kini antara tonggak terpenting Sabah, yang bakal turun lebih awal dalam aksi Liga Super menentang PDRM di Selayang, pada hari sama skuad B-23 berdepan Laos.
Sementara itu, hanya dua pemain senior berada bersama skuad B-23 ketika ini iaitu pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang Kuala Lumpur City, Haqimi Azim Rosli bagi melengkapkan persiapan menuju temasya dwitahunan itu.
Terdahulu, pengendali B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui berdepan cabaran besar untuk merangka skuad terbaik susulan kekangan pelepasan pemain oleh kelab.
“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain. Tak cukup pemain yang betul-betul. Mungkin ada sertai latihan lepas itu balik untuk perlawanan dengan negeri, dengan kelab, lepas itu akan sertai kami semula,” ujar Nafuzi.
Selepas menentang Laos, Malaysia akan membuat perhitungan penting menentang pilihan kejohanan, Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, 11 Disember.-UTUSAN










