PETALING JAYA: Putera Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bakal mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Sukan SEA 2025 selepas dipilih menyertai skuad equestrian polo negara ke temasya dwitahunan itu.
Beliau akan mewakili Malaysia dalam edisi ke-33 Sukan SEA di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, sekali gus menambah aura dan kekuatan dalam pasukan polo kebangsaan.
Penyertaan Tunku Muhammad Iskandar membawa signifikan tersendiri apabila mengikut jejak ayahanda baginda, Al-Sultan Abdullah, yang pernah mencatat sejarah merangkul pingat emas polo pada Sukan SEA 1983 di Singapura.
Kemunculan baginda dalam skuad kali ini turut melambangkan kesinambungan tradisi keluarga diraja Pahang yang sekian lama sinonim dengan pembangunan sukan polo tanah air.
Memiliki pengalaman luas dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, kehadiran baginda dijangka memberi nilai tambah dari aspek strategi dan keyakinan pasukan ketika beraksi di Samut Prakan.
Acara polo Sukan SEA edisi ini bakal berlangsung di VS Sports Club dan Siam Polo Park, dua venue berkualiti tinggi yang sering menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa serta diiktiraf sebagai antara fasiliti polo terbaik di Thailand. Persekitaran kompetitif itu dijangka menjadi medan terbaik untuk menguji kekuatan taktikal dan keserasian pemain negara.
Malaysia akan mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda antaranya Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Amran Selamat, Abdul Rashid Hasnan, Azhar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Tengku Ahmad Shazril Ezzani dan Ikwan Hafiz Jamaludin.
Kombinasi mantap ini, ditambah penyertaan Tengku Muhammad Iskandar, membuka peluang baharu untuk skuad equestrian polo negara mencipta kejutan serta kembali mengukir kegemilangan di Samut Prakan.










