PETALING JAYA: Penarikan diri pelari sensasi 400 meter (m) wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy dari temasya Sukan SEA 2025 menyaksikan kem olahraga kehilangan satu prospek emas.
Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil berkata, meskipun Chelsea Cassiopea Evali Bopulas turut didaftarkan bagi acara 400m wanita, namun prestasinya masih jauh untuk meraih pingat.
“Betul, berkuranglah satu (pingat emas) sebab dia merupakan pemegang pingat emas dan kali ini tidak dapat bertanding sebab kecederaan. Kita turut mendaftarkan Chelsea untuk acara 400m tetapi dia berada dalam kategori B.
“Berdasarkan statistik catatan masa yang dilakukan Chelsea berbanding pencabarnya dari Filipina dan Indonesia, sukar untuk kita dapatkan pingat apatah lagi pingat emas,” katanya.
Sheeren merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 adalah sandaran bagi acara 400m tidak dapat beraksi berikutan kecederaan hamstring tahap dua yang dialaminya.
Dia turut didaftarkan bagi acara 4x100m, 4x400m serta 4x400m campuran dan mengulas lanjut, Manshahar berkata peluang untuk mendapatkan pingat bagi acara tersebut turut terjejas.
Manshahar turut menjelaskan walaupun Shereen didaftarkan empat acara namun tidak menjadi kemestian kepada pelari berusia 27 tahun itu untuk menyertai kesemuanya.
“Itu untuk pendaftaran sahaja supaya dia tak terlepas bertanding jika boleh melakukannya sebab kita boleh gugurkan nama dia pada mana-mana acara. Bukan wajib lari cuma bergantung kepada situasi,” katanya.-UTUSAN










