PETALING JAYA: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil mengakui pasukannya telah melakukan banyak usaha untuk memperbaiki kelemahan pasukan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
Hasilnya dapat dilihat apabila NSFC berjaya memastikan satu mata di mata saat akhir selepas mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC 1-1 di saat akhir aksi liga di laman sendiri, semalam.
“14 hari kebelakangan ini pemain, pengurusan, taktikal staf kita cuba perbaiki apa yang kita hilang dalam tiga perlawanan lepas.
“Saya tak cakap kita dah temuinya kembali cuma kami cuba perbaiki dan konsisten. Jangkaan perlawanan adalah tinggi dalam Liga Malaysia,” kata Nidzam.
Mengulas lanjut, walaupun masa masih gagal mencatat kemenangan namun Nidzam tetap berpuas hati dengan pencapaian pemainnya apabila memastikan satu mata berharga di saat akhir permainan.
“Ada perlawanan yang kita mendahului namun ada akhir permainan kita dibolosi. Hari ini (kelmarin) kita cuba dapatkan satu mata. KL City pasukan yang matang dan memiliki pemain yang bagus.
“Saya berpuas hati kerana kami dapat satu mata dengan KL City. Kita tidak boleh kehilangan mata pada aksi akan datang,” katanya.
NSFC yang kini berada di kedudukan keenam liga dijadual bertemu Kelantan TRW di tempat lawan pada Rabu ini. – UTUSAN










