BANGKOK: Trio memanah compound negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 akan mendapat tajaan air mineral beroksigen semula jadi, Bubbles O2 selama setahun.
Skuad negara yang diwakili oleh Mohd Juwaidi Mazuki,Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhamad Aiman Syafiq Tariki menewaskn trio tuan rumah, Thailand dengan kiraan 232 berbalas 228.

Pengerusi Bubbles O2 Sdn. Bhd., Arifin Marzuki berkata, selain tajaan air Bubbles O2 selama setahun, ketiga-tiga atlet berkenaan juga akan diberikan ganjaran sebanyak RM3,000 seorang.
“Selain atlet, kita juga akan berikan ganjaran RM1,000 kepada jurulatih memandangkan kita merupakan antara penaja utama skuad memanah negara.
“Bermula tahun hadapan, kita juga merancang untuk membantu persatuan memanah untuk memperbanyakkan sirkit kebangsaan untuk program pembangunan,” katanya.-UTUSAN










