RANTAU PANJANG: Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) bertekad menutup sepenuhnya isu perjanjian melibatkan Nik Hafiz Naim Nik Hassan selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi memastikan persiapan pasukan menuju musim 2026 berjalan lancar tanpa gangguan.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perbincangan pihaknya dengan Nik Hafiz Naim sedang berlangsung dalam suasana harmoni dan berteraskan semangat kekeluargaan demi masa depan bola sepak Kelantan.
“Kami sedang mencari titik persamaan. Saya sudah beberapa kali bertemu beliau dan masing-masing memahami kekangan serta situasi yang dihadapi.
“Ini perbincangan secara adik-beradik kerana matlamat kita satu, iaitu mengangkat semula nama bola sepak Kelantan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Pelancaran Kelab Penyokong KRW FC, Wira 12 di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, beliau yakin Nik Hafiz Naim memiliki jiwa besar dan mampu mencapai penyelesaian secara menang-menang tanpa perlu isu tersebut diperbesarkan hingga mencetuskan salah faham dalam kalangan penyokong.
“Isu ini tidak sepatutnya menjadi polemik. Kita mahu fokus membina pasukan. Bermula 2026, KRW FC mesti melangkah tanpa sebarang masalah dengan mana-mana pihak.
“Saya harap penyokong bertenang dan beri ruang kepada saya serta Nik Hafiz untuk menyelesaikannya,” ujarnya.
Terdahulu, Nik Hafiz Naim menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau mengikuti siaran langsung TikTok KRW FC yang menyentuh mengenai urusan dan perjanjian pembelian kelab itu antara Nasken Coffee dan GSK.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Muhamad Zaki yang berhasrat menoktahkan perkara berkenaan sebelum berakhirnya tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu buat KRW FC.-UTUSAN










