PETALING JAYA: Heritage Ride Taiping 2025 terus membuktikan tarikannya apabila lebih 2,200 penggemar sukan berbasikal dari seluruh negara memeriahkan edisi kedua acara itu yang berlangsung, semalam.
Berbeza dengan program kayuhan lain, edisi kali ini mencuri perhatian kerana peserta bukan sahaja berpeluang menikmati suasana unik bandar bersejarah Taiping, malah menelusuri laluan ikonik sekitar Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting yang kaya dengan nilai warisan dan panorama alam semula jadi.
Tiga kategori ditawarkan iaitu kayuhan 90 kilometer (km), 60km dan kayuhan santai 20km yang menyediakan pengalaman menyeluruh kepada peserta daripada semua peringkat umur sekali gus memberi peluang mereka mendekati pesona landskap serta budaya Perak.
Acara berprestij itu dianjurkan Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn. Bhd. dengan sokongan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh yang turut hadir memeriahkan program.
Kah Woh yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, penganjuran berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya medium menyemai gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan komuniti setempat.
“Tahun lalu, penganjuran sulungnya diadakan sempena ulang tahun ke-150 Taiping. Tahun ini, kita meneruskan momentum itu dengan menjadikan warisan sebagai tunjang utama.
“Heritage Ride menyatukan masyarakat melalui sukan, sejarah dan kesihatan. Ia meraikan asal-usul kita serta memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina komuniti yang lebih sihat dan lebih kuat,” katanya.
Sebagai usaha menggalakkan penyertaan generasi muda, penganjur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan turut menawarkan 250 penyertaan percuma kepada pelajar berusia antara 7 hingga 17 tahun.
Semua pemenang bagi setiap kategori membawa pulang pingat serta hadiah wang tunai sebagai penghargaan atas kejayaan masing-masing.-UTUSAN










