BANGKOK: Penantian panjang selama 44 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara judo akhirnya terlerai menerusi kejayaan Amir Daniel Abdul Majeed pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Dalam aksi final di Universiti Rajamangala, Amir Daniel mempersembahkan aksi cukup bertenaga dalam kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) untuk menumbangkan pencabar dari Filipina, John Viron Ferrer.
Amir mengakui kemenangan tersebut amat bermakna buatnya dan mendedikasikan pingat emas tersebut khas buat Allahyarham bapanya yang meninggal dunia secara mengejut ketika dia sedang menjalani latihan di luar negara.
“Saya buat semua ini untuk arwah ayah. Dia meninggal dunia secara mengejut sewaktu saya bersiap sedia untuk pulang ke tanah air selepas selesai menjalani latihan di Mongolia,” kata Amir Daniel.- UTUSAN










