PETALING JAYA: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memberi bayangan temasya Sukan SEA 2025 berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya sebagai atlet negara.
Zaidatul atau mesra disapa ‘Adik’ menjelaskan, masa depan kariernya akan diumumkan selepas beliau melaksanakan tugas di Bangkok, Thailand pada Disember depan.
“Insya-Allah, saya akan umum selepas acara di Bangkok nanti,” katanya ketika sidang media lawatan CDM ke pusat latihan atlet temasya Sukan SEA 2025 Thailand.
Beliau berkata, persiapan agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, terutamanya kerana faktor umur dan komitmen kerjaya sebagai guru yang menyukarkan jadual latihan.
“Sudah tentu ada perubahan kerana saya perlu jaga pemulihan dengan lebih teliti. Usia bukanlah rahsia, dan saya tahu saya perlu memulihkan diri dengan sempurna,” katanya.
Bercakap mengenai peluang dan persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand, pelari pecut kelahiran Kedah itu mengakui tidak terlalu memikirkan kedudukan ranking semasa.
“Saya tak pernah terlalu ambil kira ranking, apa yang penting saya mahu beraksi habis-habisan di Sukan SEA nanti,” tambah beliau.
Zaidatul yang bakal membuat penampilan keenam pada temasya dwitahunan itu mempunyai enam koleksi pingat sejak 2017, namun belum pernah menuai pingat emas.
Di Kemboja 2023, Zaidatul meraih gangsa dalam acara 200 meter (m) selain kilauan pingat sama bagi 4x100m bersama Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling.
Pada ketika itu, kuartet negara mencatat 44.58 saat (s) yang juga rekod kebangsaan baharu untuk berada di tempat ketiga manakala, emas dan perak milik Thailand serta Vietnam.-UTUSAN










