PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 17 (B-17) kebangsaan, Javier Jorda Ribera menyifatkan kemenangan besar dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2026 sebagai petanda positif buat pasukannya.
Menurutnya, para pemain berjaya menterjemahkan perancangan taktikal yang dirancang sebelum ini, sekali gus menampilkan corak permainan serta identiti sebenar skuad muda negara.
“Memulakan pusingan kelayakan ini dengan kemenangan besar sangat penting untuk pasukan, bukan sekadar mendapatkan tiga mata. Kami menguasai permainan dalam semua aspek dan berjaya menunjukkan corak permainan yang kami mahukan.
“Para pemain mengawal bola dengan baik, sentiasa berusaha menyerang serta melakukan tekanan agresif di kawasan lawan. Semua itu mencerminkan identiti dan intensiti permainan kami,” katanya.
Skuad muda negara membuka langkah kanan apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Hanoi, Vietnam, kelmarin.
Kemenangan bergaya itu turut menjawab kritikan susulan kekalahan memalukan 0-11 kepada Croatia B-16 dalam aksi persahabatan awal bulan ini.
Javier menjelaskan pasukannya berdepan jadual padat apabila perlu mengharungi empat perlawanan dalam tempoh seminggu, sekali gus memerlukan perancangan rapi dan sistem pergiliran yang teratur.
“Kami kini berdepan empat lagi perlawanan dalam tempoh tujuh hari, dengan hanya tiga hari untuk pemulihan.
“Sebab itu persiapan kami memberi tumpuan kepada penggunaan skuad secara bergilir, pengurusan beban fizikal pemain serta memastikan setiap pemain bersedia menghadapi setiap perlawanan dengan fokus penuh,” ujarnya.
Malaysia akan berdepan Hong Kong hari ini, yang turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Macau, kelmarin. Javier mengakui perlawanan tersebut bakal memberikan cabaran getir kepada anak buahnya.-UTUSAN










