PARIS: Jannik Sinner membuktikan statusnya sebagai pemain paling konsisten musim ini apabila menundukkan Felix Auger-Aliassime 6-4, 7-6 (4) untuk merangkul kejuaraan Paris Masters sulungnya, sekali gus merampas semula ranking No. 1 dunia, semalam.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu turun dengan misi wajib menang bagi mengatasi jaguh Sepanyol, Carlos Alcaraz dalam kedudukan dunia, dan dia melakukannya dengan penuh bergaya tanpa tewas satu set pun sepanjang kejohanan.
Bagi Auger-Aliassime pula, impian untuk menempah tiket ke ATP Akhir di Turin musnah apabila kekalahan di final itu menamatkan peluangnya, walaupun menampilkan aksi bertenaga di hadapan penyokong yang berpihak kepadanya.
Sinner yang kini meraih lima kejuaraan musim ini termasuk satu Masters, turut melanjutkan rekod luar biasanya di gelanggang tertutup kepada 26 kemenangan berturut-turut.
“Ia kemenangan yang besar buat saya, final yang sangat menakjubkan dan kami berdua tahu apa yang dipertaruhkan.
“Beberapa bulan terakhir ini amat luar biasa, kami banyak bekerja memperbaiki permainan, dan melihat hasil sebegini menjadikan saya sangat gembira,” kata Sinner.
Sinner mempamer servis sempurna dan kawalan pukulan mantap, hingga Auger-Aliassime tidak mampu meraih sebarang mata pemecah servis pada set pertama, sebelum tewas dalam penentuan tiebreak set kedua.
Pukulan kilas kilat Sinner ke garisan pada mata kemenangan menjadi simbol penguasaan totalnya di Paris, menegaskan dia kini bersedia menamatkan musim dengan penuh bergaya di ATP Akhir Turin, Itali minggu depan. – AGENSI










