Selangor FC didenda RM100,000, bermain tanpa penonton

Selangor FC didenda RM100,000, bermain tanpa penonton

SELANGOR FC didenda oleh FAM disebabkan tingkah laku tidak bermoral penyokong Gergasi Merah.-IHSAN SFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC dihukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan, hari ini memaklumkan hukuman berkenaan diputuskan dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029, semalam membabitkan insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.

Jelasnya, Selangor dikenakan lima pertuduhan yang mana kelab itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5.

“Bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2025-2026, Selangor FC menentang Sabah FC di Stadium MBPJ, 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.

“Didenda sebanyak RM100,000 akibat daripada kesalahan berulang (Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM). Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” kata Baljit.

Bagi pertuduhan pertama, Baljit dalam kenyataan berkata pada perlawanan itu penyokong Selangor FC melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun didengari dan dilihat dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.

Pertuduhan kedua, penyokong Selangor FC merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong pasukan itu.

Pertuduhan ketiga, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.

Bagi pertuduhan keempat pula, penyokong Selangor FC melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, Selangor FC didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran seperti mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada (undang-undang FIFA & AFC, undang-undang FAM, undang-undang nasional, perjanjian antarabangsa) dan mengambil setiap langkah keselamatan mengikut keadaan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan jika insiden berlaku.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN