KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu pemain profesional negara menjalani latihan bersama dengan pemain badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara berkala bagi memastikan tiada jurang perbezaan yang ketara.
Hannah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) berkata, langkah itu dibuat sebagai satu usaha untuk memastikan prestasi atlet di bawah program itu sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Saya mahu RTG memastikan atlet profesional, bebas dan atlet BAM mempunyai masa untuk berlatih bersama dan sekiranya tidak, saya rasa daya saing menurun.
“Jadi, kita minta sesi latihan bersama dibuat. Sebelum Paris (Sukan Olimpik), kita luluskan rakan sepelatih RTG, tetapi sebenarnya rakan sepelatih itu sudah ada dalam negara sekiranya atlet profesional dan BAM bekerjasama.
“RTG sedang menyediakan ekosistem itu dan sedang berbincang dengan BAM,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penajaan (MoA) antara MSN dan Corporate Hero Century Sdn Bhd (Pace) di Bukit Jalil, semalam.
Pemain BAM di bawah program RTG ialah beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik; beregu lelaki No. 5 dunia, Man Wei Chong–Tee Kai Wun; beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan–M. Thinaah; serta beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.
Sementara itu, atlet profesional di bawah program berprestasi tinggi ialah beregu lelaki No. 4 dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran No. 9 dunia, Goh Soon Huat–Shevon Lai.
Hannah turut menambah bahawa program itu dijangka bermula seawal tahun hadapan, bergantung pada jadual atlet, khususnya ketika ramai daripada mereka sedang menyertai kejohanan antarabangsa secara berturut-turut.-UTUSAN










