PETALING JAYA: Skuad futsal negara yakin mampu melakar kejutan pada Sukan SEA 2025 biarpun bakal berdepan saingan sengit daripada tuan rumah, Thailand dan juga Indonesia.
Ketua jurulatih negara Rakphol Sainetngam berkata, persiapan skuad negara berjalan dengan lebih rapi, termasuklah membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkukuh pasukan.
“Terdapat dua pemain baharu iaitu dari Pahang yang dibawa masuk selepas menilai potensi jangka panjang mereka.
“Walaupun masih muda, kedua-dua pemain itu mempunyai kemampuan tinggi yang perlu diberi peluang beraksi di peringkat antarabangsa sebagai persediaan masa depan skuad negara,” katanya.
Pemilihan pemain kali ini dibuat dengan teliti berdasarkan keperluan pasukan yang semakin besar menjelang kejohanan penting itu.
Rakphol mengakui banyak perkara perlu diperbaiki susulan kelemahan yang dikenal pasti ketika kelayakan Piala Asia Futsal 2026 sebelum ini.
Menurutnya, aspek serangan dan pertahanan akan diberi perhatian khusus kerana lawan yang bakal ditemui di Sukan SEA seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam merupakan antara pasukan terbaik Asia.
Rakphol berkata, pihaknya kini sedang berhubung dengan beberapa kelab di Thailand bagi mendapatkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga perlawanan, memandangkan skuad negara tidak dapat menanggung kos untuk mengatur perlawanan di luar negara yang lain.
Tambahnya, skuad negara akan berangkat ke Thailand pada 6 Disember untuk mengadakan beberapa aksi persahabatan menentang kelab di sana.
“Kami akan berada di Thailand. Kami memerlukan dua atau tiga perlawanan dengan kelab di sana kerana mereka mempunyai gaya permainan sama seperti yang bakal ditemui di Sukan SEA.” katanya.
Rakphol percaya Malaysia mempunyai peluang untuk bersaing sekiranya pasukan menunjukkan peningkatan signifikan dalam tempoh persiapan yang berbaki.
Keyakinan itu hadir selepas melihat komitmen pemain yang semakin memahami kehendak taktikal pasukan.-UTUSAN










