Queenie idam lebur rekod kebangsaan di Sukan SEA 2025

Queenie idam lebur rekod kebangsaan di Sukan SEA 2025

Queenie Ting Kung Ni sasar pecahkan rekod kebangsaan di Sukan SEA 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni bertekad untuk mencipta rekod kebangsaan baharu pada temasya Sukan SEA 202, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara atlet terbaik dalam acara itu di rantau ini.

Queenie, yang kini menjalani latihan intensif di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil berkata, persiapannya sudah mencapai tahap 85 peratus dari segi fizikal dan mental.

“Bagi saya, saya rasa sudah 85 peratus bersedia untuk Sukan SEA kali ini. Dari segi fizikal dan mental, saya berada di landasan yang baik. Sekarang ini, saya fokus untuk mengekalkan konsistensi latihan supaya dapat hasil yang saya sasarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anak jati Sarawak itu mengakui sasaran utamanya bukan hanya pingat, tetapi lebih kepada menambah baik prestasi peribadi dengan melepasi rekod kebangsaan 52.77 meter (m) yang dipegangnya.

“Saya dan jurulatih memang sasarkan untuk rekod kebangsaan baharu. Sasaran saya kali ini adalah melebihi 52m, mungkin sekitar 53m ke atas. Pingat itu penting, tapi fokus utama saya adalah pada prestasi yang realistik dan boleh dicapai,” katanya.

Menurut Queenie, walaupun acara lempar cakera kali ini bakal menampilkan beberapa atlet Olimpik dari rantau Asia Tenggara, beliau memilih untuk tidak terlalu memikirkan kekuatan lawan.

“Saya tidak fokus pada siapa lawan saya, sebab cabaran sebenar datang daripada diri sendiri. Saya kena pastikan latihan saya konsisten dan tidak mengulangi kesilapan teknik yang sama. Apabila saya berdiri dalam gelanggang, fokus saya hanya pada lontaran, bukan siapa di sekeliling,” katanya lagi.

Tambahnya, pendekatan mental menjadi kunci utama dalam mencapai keputusan cemerlang, terutama apabila berdepan tekanan ketika kejohanan besar.

“Saya tak pernah rasa takut dengan mana-mana lawan, cuma saya tahu dalam acara saya memang ada Olimpian. Jadi jurulatih saya selalu pesan supaya jangan terlalu fikir tentang pingat, tapi fokus pada apa yang boleh saya kawal untuk dapat hasil yang terbaik,” ujar atlet berusia 28 tahun itu.

Terdahulu, Queenie pernah mencatatkan rekod sejauh 52.36m di Sukan SEA Kemboja pada tahun 2023 untuk meraih perak ketika itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN