LYON: Jaringan kemenangan lewat oleh Joao Neves membawa Paris Saint-Germain (PSG) kembali ke puncak Ligue 1 selepas menewaskan Lyon 3-2, semalam.
PSG memulakan hujung minggu di tangga teratas liga, namun dipintas oleh musuh ketat Marseille yang menewaskan Brest 3-0, kelmarin untuk mendahului dengan kelebihan satu mata.
Peluang untuk merampas semula kedudukan itu kelihatan seperti terlepas buat pasukan Luis Enrique, sehinggalah Neves menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-95 di Stadium Groupama.
Juara bertahan PSG kini mengumpul 27 mata, dua mata di depan Marseille di tempat kedua.
“Kami menunjukkan mentaliti yang betul untuk memenangi perlawanan ini. Ia penting kerana dalam kesukaran, kami menang dan kami kini di tangga teratas Ligue 1.
“Tentu sekali kami akan terus berusaha keras untuk menang. Setiap perlawanan sentiasa sukar untuk kami tetapi ia bukan alasan untuk kami tidak menang,” kata Enrique.
Kemenangan itu menjadi suntikan semangat buat PSG selepas kekalahan pertengahan minggu kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara manakala kekalahan lewat itu pula menyebabkan Lyon jatuh ke tangga ketujuh, tujuh mata di belakang pendahulu.
Lille jatuh ke tangga kelima selepas mengalami kekalahan keempat musim ini, kini ketinggalan dua mata di belakang Strasbourg.-AFP










