PETALING JAYA: Persaingan merebut pingat emas acara pecut Sukan SEA 2025 diramal sengit dan sukar dijangka dengan setiap negara bakal mempertaruhkan atlet terbaik.
Secara tradisinya, tiga negara bakal berebut emas acara riben biru iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam, namun cabaran atlet negara lain tidak boleh dipandang mudah bagi mengelak kejutan
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, keputusan akan ditentukan ketika perlumbaan, biarpun atlet turun beraksi dengan reputasi masing-masing.
“Acara pecut ini tidak boleh dijangka hanya melalui ranking. Keputusan sebenar ditentukan ketika perlumbaan berlangsung,” katanya.
Dalam kategori lelaki, persaingan dijangka hebat dengan nama besar seperti Puripol Boonson dari Thailand dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang menjadi ancaman utama.
Sementara kem olahraga negara mempertaruhkan pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang membuktikan kemampuannya dengan rekod terpantas 10.26 saat.
Manakala, atlet berpengalaman, Jonathan Nyepa turut menjadi sandaran apabila menempatkan diri dalam kelompok lima pelari terbaik rantau ini.
Bagi acara wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli yang berada di ranking keenam Asia Tenggara, bakal mengetuai cabaran dalam acara 100m dan 4×100 meter wanita.
“Acara 4×100 meter wanita adalah tumpuan utama kami. Insya Allah, kami akan pulang dengan pingat, tidak kira warna apa pun,” katanya.
Manshahar berkata, semua atlet kini berada dalam keadaan bersedia dan menjalani latihan intensif, dengan perkembangan positif dari atlet yang masih di bawah pemantauan.
“Kami optimis dengan persiapan yang ada dan laporan perubatan terkini menunjukkan mereka semakin pulih,” katanya.
Pada edisi lalu di Kemboja, kem olahraga negara meraih 5 emas, 3 perak dan 11 gangsa sekaligus merupakan rekod yang perlu diperbaiki menjelang edisi di Thailand pada Disember ini.-UTUSAN










