KUALA LUMPUR: Pengalaman serta kekuatan mental menjadi sandaran dua pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple dan Muhammad Soufi Rusli yang akan bersaing dalam acara perseorangan lelaki kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025, hari ini.
Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, Izzat dan Soufi memiliki kekuatan tersendiri serta pengalaman luas yang mampu memberi saingan sengit kepada pemain bertaraf dunia.
“Soufi ini kekuatan dia terletak pada kekuatan mental yang sangat tinggi. Dia bukan jenis yang mudah putus asa, malah terus berusaha walaupun dalam keadaan sukar.
“Pemilihan dia dalam kejohanan kali ini bukan pemain yang lahir-lahir sudah hebat, tapi berkat hasil kerja keras dan disiplin, dia berjaya sampai ke tahap ini,” katanya.
Gandingan Soufi bersama rakan pasukannya sebelum ini turut menyumbang pingat gangsa di Kejohanan Dunia Gold Coast 2023, menjadi bukti kemampuan sebenar pemain itu.
Dalam pada itu, Zuraidi turut menyifatkan Izzat sebagai antara pemain paling berpengalaman dan berbakat besar dalam skuad lelaki negara.
“Izzat ini pemain yang sangat cerdik dan berfikir jauh di atas padang. Dia pernah berada di tempat pertama dunia dan kini masih kekal dalam kelompok lima terbaik dunia. Jadi, peluang untuk dia mara ke peringkat akhir memang ada,” ujarnya.
Namun, beliau mengingatkan agar tekanan tidak diletakkan terlalu tinggi terhadap pemain itu bagi mengelakkan beban emosi ketika beraksi di gelanggang.
“Kadang-kadang dia nampak macam cepat kecewa bila permainan tak menjadi, tapi kalau dia tenang dan kekal fokus, dia mampu kalahkan nama-nama besar dunia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zuraidi optimis kedua-dua pemain itu mampu mencipta keputusan positif dalam saingan kali ini.
“Soufi ada semangat juang luar biasa, manakala Izzat pula mempunyai kemahiran taktikal dan pengalaman luas di peringkat dunia.
“Kalau kedua-duanya bermain pada tahap sebenar, saya yakin peluang untuk bawa pulang pingat emas tetap ada,” katanya.
KAPSYEN: SOUFI (kiri) dan Izzat sakan beraksi dalam acara perseorangan lelaki kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025, hari ini.










