Nidzam kecewa pemain NSFC leka

Nidzam kecewa pemain NSFC leka

Jurulatih NSFC, Mohd Nidzam Jamil ketika sesi sidang akhbar perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil kecewa dengan kelekaan pemainnya ketika diikat 1-1 oleh Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Keputusan itu menyaksikan NSFC terlepas tiga mata dan gagal memperbaiki kedudukan dalam carta liga yang ketika ini menyaksikan mereka mengumpul 13 mata di tangga keenam selepas sembilan perlawanan.

Dalam aksi itu, NSFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin pada separuh masa pertama sebelum Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-90.

“Kita berhak mendapat kemenangan, tapi disebabkan kelekaan, kita terlepas tiga mata. Memang rasa terkilan, kegagalan ‘membunuh’ permainan ketika berpeluang melakukannya membuatkan kita terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Pemain harus lebih peka dengan situasi dalam perlawanan dan perlu tahu bagaimana untuk mengekalkan kelebihan yang ada apa tah lagi ketika kemenangan itu sudah hampir berada dalam genggaman.

“Situasi seperti ini juga berlaku ketika mana kita beraksi di Pulau Pinang (bertemu Imigresen FC),” kata Nidzam kepada media selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali menyifatkan satu mata yang diraih adalah amat berharga selepas skuadnya beraksi dengan 10 pemain sejak babak pertama.

“Saya sangat bersyukur kerana ini satu mata yang amat berharga. Saya memuji semangat juang pemain-pemain yang bermain bermati-matian sehingga kita dapat satu mata pada saat-saat terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Badrul menyerahkan kepada pihak pengurusan kelab untuk menentukan kedudukannya, namun tetap berharap diberikan ruang untuk terus membimbing skuad itu.

“Saya serahkan kepada pihak pengurusan kelab. Tetapi saya masih berharap untuk diberikan peluang. Sekurang-kurangnya satu musim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN