Malaysia bersama 21 negara di Kejohanan Amatur Saujana ke-35

Malaysia bersama 21 negara berentap dalam Kejohanan Amatur Saujana ke-35

SA NATHAN menerima penajaan daripada Pengarah Pemasaran Bermaz Auto Berhad, Lee Ai Yoon yang menaja sebuah kereta Mazda CX-3 bagi pemain yang berjaya melakukan ‘Hole In One’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berentap bersama 21 negara lain dalam Kejohanan Amatur Saujana (SAC) ke-35 yang akan berlangsung bermula 25 hingga 27 November ini di Saujana Golf & Country Club (SGCC).

Kejohanan tiga hari itu dijangka menjadi antara edisi paling sengit apabila 22 negara termasuk 14 pemain daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) mengesahkan penyertaan mereka menjadikan ia antara acara golf amatur terbesar di rantau ini.

Pengurus Besar Saujana GCC, SA Nathan berkata, kejohanan kali ini akan diadakan di Palm Course yang diiktiraf oleh R&A sebagai venue kejohanan antarabangsa dan ia terbuka kepada pemain golf lelaki dengan handikap 5.8 ke bawah.

PEMAIN berbakat dari Jepun, Daichi Hayashi turut mengesahkan penyertaannya bagi mempertahankan kejuaraan miliknya pada tahun lalu.

“Saujana Amateur Championship terus menjadi platform penting bagi pemain amatur terbaik mengasah bakat dan melangkah ke peringkat profesional.

“Palm Course dikenali sebagai padang mencabar dan menjadi kayu ukur sebenar kemampuan seseorang pemain. Kami teruja menyaksikan bakat tempatan bersaing dengan pemain antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan. 

Nathan berkata, kejohanan yang disahkan oleh MGA itu turut menawarkan mata World Amateur Golf Ranking (WAGR) serta satu slot ke siri Asian Development Tour (ADT) kepada juara keseluruhan.

Antara peserta tumpuan termasuk juara bertahan dari Jepun, Daichi Hayashi yang merupakan ahli Junior Saujana dan satu-satunya ahli kelab itu yang berjaya menjulang kejuaraan dalam tempoh 35 tahun penganjurannya.

Malaysia turut diwakili beberapa pemain muda berbakat yang bakal berentap menentang peserta dari negara kuat seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, England dan Amerika Syarikat.

Dalam masa sama, Nathan turut menzahirkan penghargaan kepada Bermaz Auto Berhad, pemegang francais Mazda di Malaysia yang tampil sebagai penaja utama kejohanan tahun ini.

“Kami amat berterima kasih kepada Bermaz Auto atas sokongan mereka. Tambahan hadiah Hole-In-One berupa Mazda CX-3 pastinya membangkitkan semangat dan persaingan di kalangan pemain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN