Malaysia B-16 benam Macau 5-0, Alif Ashraf ledak hatrik

Malaysia B-16 benam Macau 5-0, Alif Ashraf ledak hatrik

PEMAIN B-16 negara, Alif Ashraf diasak penjaga gol Macau pada aksi ketiga Kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 berdepan Macau di Hanoi, malam ini.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga tandukan berbisa daripada Muhammad Alif Ashraf Abd. Rahman membuka jalan kepada kemenangan bergaya apabila skuad bawah 16 (B-16) negara membelasah Macau 5-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Padang Vietnam YFTC, Hanoi, sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan Harimau Malaya B-16 mengekalkan rekod sempurna dalam tiga perlawanan Kumpulan C selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0 dalam aksi pembukaan dan menewaskan Hong Kong 1-0, Isnin lalu.

Di atas kertas, skuad bimbingan Javier Jorda Ribera dijangka tidak berdepan halangan sukar untuk mengekalkan rentak cemerlang menentang Singapura pada Jumaat ini sebelum aksi terakhir bertemu tuan rumah, Vietnam, Ahad ini.

Pada perlawanan itu, Malaysia mendominasi permainan namun terpaksa menunggu hingga minit ke-39 untuk memecah kebuntuan menerusi tandukan Alif Ashraf hasil sepakan sudut Tengku Ahmad Darwis Tengku Daud.

Seminit kemudian, penyerang tinggi lampai itu sekali lagi menceriakan kem negara apabila menanduk masuk hantaran lintang Muhammad Amirul Haziq Mazlan untuk gol kedua peribadi dan pasukan.

Alif melengkapkan hatrik pada minit ke-49, juga melalui tandukan selepas menerima bola daripada sepakan sudut Taufiquul Hakim Mohd. Azlan.

Malaysia terus menekan Macau dan memperoleh gol keempat ketika permainan berbaki empat minit apabila Mohamad Iman Danish Mohd. Shukor pantas menyambar bola muntah susulan rembatan Muhammad Nabil Ikhwan Mohd. Zaidi terkena palang.

Iman Danish kemudian menutup pesta jaringan negara dengan gol kelima pada masa kecederaan, memastikan kemenangan selesa 5-0 menjadi milik Harimau Malaya B-16.

Skuad negara kekal di tangga kedua Kumpulan C, berkongsi sembilan mata dengan pendahulu, Vietnam yang turut menang 2-0 ke atas Hong Kong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN