PETALING JAYA: Laluan berbukit ekstrem di Thailand bakal menjadi cabaran terbesar buat barisan pelumba basikal lebuh raya negara pada temasya Sukan SEA 2025 pada Disember ini.
Jurulatih negara, Mohd. Yusof Abdul Nasir berkata, Malaysia akan meletakkan harapan kepada pelumba berprofil pendakian tinggi untuk menggalas cabaran di Thailand yang terkenal dengan trek panjang serta pendakian curam.
“Laluan kali ini memang panjang dan agak ‘pacak’. Kita tahu Thailand akan bina laluan yang beri kelebihan kepada mereka.
“Sebab itu kita sasarkan pelumba seperti Tsen Ren Bao, Muhammad Zawawi Azman dan Muhammad Syawal Mazlin sebagai pendaki utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau juga menjelaskan majoriti pelumba kini berada dalam keadaan baik selepas melalui jadual perlumbaan yang padat.
“Ramai pelumba kita baru habis perlumbaan ‘back-to-back’. Jadi minggu ini kita beri ruang untuk mereka ‘freshen up’ sebelum kembali fokus kepada acara masing-masing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Syawal mengalami kecederaan kecil, namun telah disahkan cergas untuk kembali berlatih.
“Doktor sahkan tiada isu serius. Yang lain semua berada dalam keadaan baik dan jurulatih pun sudah merangka program latihan khusus mengikut disiplin masing-masing,” ujarnya.
Mengulas mengenai sasaran pingat, Yusof menegaskan pasukan negara tetap optimis meskipun menyedari kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah.
“Kita kena realistik. Laluan dibuat memang memihak kepada Thailand. Nak kekalkan pingat adalah cabaran besar, tapi peluang tetap ada.Apa yang penting, kita turun sebagai ‘fighter’ dan cuba sehabis baik,” tegasnya.-UTUSAN










