MELBOURNE: Bekas finalis Wimbledon, Nick Kyrgios memberi bayangan kuat mengenai kemunculan semulanya di Terbuka Australia 2026 apabila mengesahkan penyertaan dalam kejohanan pameran Klasik Kooyong sebagai medan pemanas badan.
Pemain berusia 30 tahun itu bergelut dengan siri kecederaan serius sejak beberapa tahun lalu hingga menyaksikan dia hanya beraksi dalam lima perlawanan perseorangan sepanjang musim 2025, dengan penampilan terakhirnya pada Terbuka Miami, Mac lalu.
Kini tercampak ke ranking ke-666 dunia, Kyrgios perlu bergantung sepenuhnya kepada wildcard untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan ATP sebelum Terbuka Australia termasuk kejohanan Grand Slam tersebut sendiri.
Namun, statusnya sebagai bekas juara Brisbane International dan antara pemain paling popular di Melbourne Park dijangka memudahkan laluan mendapatkan slot istimewa itu.
Selain Klasik Kooyong, Kyrgios turut dijadualkan menyertai beberapa aksi pameran hujung tahun ini, termasuk pertarungan istimewa “battle of the sexes” menentang bintang Belarus, Aryna Sabalenka di Dubai pada 28 Disember.
Klasik Kooyong tahun depan juga dijangka hangat dengan kehadiran trio Itali serta wira Piala Davis, Flavio Cobolli; finalis Wimbledon Matteo Berrettini; serta pemain No. 8 dunia, Lorenzo Musetti.
Kejohanan tradisi itu yang tidak dianjurkan tahun ini akibat isu operasi akan kembali berlangsung dari 13 hingga 15 Januari, iaitu hanya tiga hari sebelum tirai musim Grand Slam dibuka di Melbourne Park. – AGENSI










