KUALA LUMPUR: Akademi KL Rovers (KLRA) meletakkan sasaran untuk membawa pulang kejuaraan Malaysia Youth League (MYL) 2025 apabila tiga pasukan bawah umur mereka—U16, U14 dan U10—melibatkan seramai 56 pemain serta barisan jurulatih, bakal beraksi pada saingan peringkat kebangsaan di Pasir Gudang, Johor dari 20 hingga 23 November ini.
Berdasarkan pencapaian tahun lalu serta prestasi semasa, KLRA dilihat lebih mantap dan bersedia untuk memberikan cabaran sengit pada edisi kali ini, sekali gus menggegar pentas nasional dan membanggakan warga kota.

Pasukan Bawah 16 KLRA muncul juara MYL Kuala Lumpur selama empat musim berturut-turut, manakala pasukan Bawah 14 pula merangkul gelaran juara dua musim pada tahun 2025.
Rekod tanpa kalah dalam saingan liga menjadi tonik tambahan kepada skuad muda itu bagi merealisasikan misi bergelar Juara MYL 2025.
Menurut pemilik Akademi KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz, kejayaan di pentas kebangsaan bukan sahaja demi pencapaian pasukan, tetapi sebagai tanda penghargaan buat penyokong, ibu bapa dan seluruh keluarga besar KLRA.
“Kami ingin muncul Juara MYL 2025 bagi membalas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong, ibu bapa serta warga Akademi KLRA yang sentiasa positif dan bersemangat bersama pemain,” katanya.
Aznor turut merakamkan penghargaan kepada rakan penaja dan rakan kerjasama yang banyak membantu perkembangan KLRA.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pari Pari, Marche All Star, Manate Steak House, Quotro,
Data Sukan dan individu korporat dan usahawan tempatan yang terus menyokong pembangunan bola sepak komuniti di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Semua pasukan KLRA akan membuka tirai saingan peringkat kebangsaan bermula Jumaat, 20 November 2025 di venue rasmi Majlis Perbandaran Pasir Gudang , Johor










