KL padam badi 31 tahun, julang Piala Emas Raja-Raja edisi ke-103

KL padam badi 31 tahun, julang Piala Emas Raja-Raja edisi ke-103

KUALA Lumpur muncul juara Piala Emas Raja-Raja 2025 selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Badi 31 tahun Kuala Lumpur (KL) akhirnya berjaya dipadam apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi final yang berlangsung dalam suasana hujan lebat di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebentar tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus menamatkan penantian panjang pasukan Warga Kota yang kali terakhir menjulang trofi berprestij tersebut pada 1994 selepas menewaskan Perlis 2-1, menjadikan kemenangan kali ini penuh makna buat generasi baharu pasukan itu.

ATM pula yang turun selaku pasukan pilihan terpaksa menerima hakikat kecundang di pentas kemuncak apabila gagal menandingi disiplin dan kemantapan taktikal anak-anak buah Zolkipli Samion.

Skuad The Gladiators sebelum ini pernah menjuarai PERR sebanyak tiga kali masing-masing pada 1971, 1984 dan 1999.

Aksi final yang dimainkan dalam keadaan padang becak jelas mempengaruhi rentak permainan, namun KL tampil lebih tersusun dan mendominasi babak pertama.

Tekanan berterusan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-43 menerusi situasi yang mencetuskan kekecohan di kotak penalti ATM.

Hantaran Muhammad Sharul Aikal yang sepatutnya mudah dibaca pertahanan lawan tersangkut pada air bertakung, menyebabkan penjaga gol ATM, Syahmer Hakimi tergelincir.

Peluang itu tidak disia-siakan Suhaimi Abu yang dengan tenang menolak bola ke gawang terbuka untuk meletakkan KL 1-0 di depan.

Memasuki babak kedua, ATM menggandakan asakan dalam misi mencari gol penyamaan, namun ketenangan benteng KL berjaya menyerap serangan bertali arus skuad kendalian Taufik Mat Radi itu.

Drama lewat permainan tercetus apabila ATM dianugerahkan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun usaha Seherry Aladin untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dipadamkan oleh ketangkasan penjaga gol KL, Hanif Faizal yang menepis keluar sepakan tersebut.

Sebagai juara, KL membawa pulang piala pusingan, pingat serta hadiah wang tunai RM50,000, manakala ATM selaku naib juara menerima RM30,000 beserta pingat.

Kejayaan muncul juara edisi ke-103 ini turut dianggap sebagai penawar duka buat KL selepas kecundang kepada Selangor bulan lalu dalam perebutan Piala Agong 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN