PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu terus berjuang mempertahankan maruah Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November ini.
Biarpun berdepan kemelut hukuman Persekutuan Bola Sepak Antabangsa (FIFA) serta berisiko dipotong mata, perkara itu perlu dilupakan seketika kerana maruah negara menjadi keutamaan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, inilah masa terbaik buat pemain negara membuktikan semangat juang dan kesetiaan tanpa dipengaruhi isu luar padang.
“Kita sudah tahu keputusan dan apa yang berlaku. Sekarang masanya kita tunjuk kekuatan sebenar. Pemain kena pegang semangat, jangan luntur.
“Kita teruskan perjuangan ini dan buktikan bola sepak Malaysia tidak mudah goyah dan mengutip tiga mata ketika berdepan Nepal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 27 pemain yang menggalas cabaran negara dalam aksi menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Azlan menyambut baik kemasukan semula Matthew Davies yang sebelum ini berdepan masalah kecederaan di samping panggilan pertama Ryan Lambert dalam skuad negara.
“Bila ada adik-beradik seperti Ryan dan Declan Lambert, ia mengindahkan suasana bola sepak kita. Dulu Penang dan Selangor ada pemain bersaudara yang mengharumkan nama pasukan. Ini suasana harmoni yang kita mahu lihat,” ujarnya.
Mengulas peluang Jordan Mintah untuk melakukan penampilan sulung bersama skuad negara, Azlan yakin penyerang itu mempunyai potensi besar jika mempamerkan kebolehan ketika latihan.
“Kalau dia ikut tunjuk ajar jurulatih dan berdisiplin, saya percaya dia wajar diberi peluang. Jurulatih tahu apa yang dia nak buat. Kita kena yakin dengan perancangannya,” katanya.-UTUSAN










