DUBLIN: Pengendali Ireland, Heimir Hallgrimsson menegaskan Cristiano Ronaldo tidak sepatutnya menyalahkan dirinya berhubung kad merah yang diterima ketika Portugal tumpas 0-2 pada aksi kelayakan Piala Dunia, semalam.
Jelasnya, kemungkinan ini adalah detik ‘kebodohan’ bintang dunia itu dalam bola sepak.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu, bertikam lidah dengan Hallgrimsson selepas diarahkan keluar padang ketika Portugal ketinggalan dua gol di Dublin.
Ronaldo mendakwa sebelum perlawanan jurulatih Ireland itu cuba menekan pengadil dengan memberitahu mereka supaya tidak terpengaruh dengan pemain bintang itu.
“Dia menyalahkan saya kerana menekan pengadil, tetapi dengar sini, itu tiada kaitan dengan saya. Ia tindakan dia sendiri di tengah padang yang menyebabkan kad merah itu.
“Tiada kena-mengena dengan saya, ia hanyalah tindakannya sendiri di padang. Ini hanya sedikit detik kebodohan daripadanya, saya rasa begitu,” katanya.
Ronaldo dibuang padang susulan tindakannya menyiku Dara O’Shea dari belakang ketika pemain Ireland mengekangnya di dalam kotak penalti pada babak kedua, menyaksikan Portugal ketinggalan 2-0.
Kad merah itu adalah yang pertama buat Ronaldo bersama Portugal, dan dia kini berdepan risiko digantung pada permulaan Piala Dunia jika Portugal mengesahkan kelayakan mereka, bergantung kepada hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nanti.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, bagaimanapun mempertahankan tindakan Ronaldo dan menegaskan pemainnya itu bergelut dengan tekanan fizikal dalam kawasan penalti.
“Sukar untuk pemain seperti Cristiano apabila berada dalam kotak penalti. Dia sentiasa ditarik dan dicengkam. Tidak ada unsur keganasan, dia hanya cuba menolak pemain lawan menjauhinya,” jelasnya.-AGENSI










