Jonathan terkejut galas misi 100m

Jonathan terkejut galas misi 100m

AKSI Jonathan Nyepa di peringkat saringan acara 200 meter pada Sukan SEA 2021- SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelari pecut senior negara, Jonathan Nyepa, mengakui terkejut apabila namanya tersenarai dalam acara 100 meter(m) ke Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Pemilihan anak jati kelahiran Sarawak itu membuka satu lagi medan cabaran yang tidak pernah dijangka kerana beliau hanya menyasarkan tersenarai dalam skuad 4x100m ke temasya itu.

“Untuk acara 100m, memang saya tidak menyasarkan untuk layak kerana fokus saya lebih kepada kelayakan 4x100m,” katanya.

Menurutnya, slot tersebut terbuka selepas pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak dapat beraksi pada temasya berprestij itu.

“Kalau diikutkan, saya sebenarnya layak. Disebabkan Azeem tidak dapat bertanding, mereka letakkan nama saya.

“Saya teruja untuk bertanding dengan pelari-pelari terpantas Asia Tenggara. Bukan senang untuk dapat peluang seperti ini, jadi kenapa tidak saya mencuba,” ujarnya.

Tambahnya, ini merupakan penyertaan ketiganya dalam acara riben biru di Sukan SEA selepas 2017 dan 2019.

Jonathan, yang berada pada tahap kecergasan terbaik, yakin skuad 4×100m negara memiliki peluang cerah untuk membawa pulang pingat.

“Bagi acara 4×100m, memang ada peluang untuk menang pingat tapi bergantung kepada prestasi pada hari kejohanan.Sasaran awal kami semestinya mahu membawa pulang pingat,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN