PARIS: Jerman dan Belanda berpesta gol ketika mereka menewaskan lawan masing-masing dalam aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026.
“Setiap pemain bermain dengan baik hari ini (semalam) dan bekerja keras seperti anjing,” kata jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann.
Kedua-dua gergasi Eropah itu hanya memerlukan keputusan seri untuk memastikan tempat ke kejohanan bola sepak dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Namun sebaliknya, mereka memilih untuk menyerang habis-habisan.
Jerman menguasai permainan awal dan menewaskan Slovakia 6-0 di Leipzig, Belanda pula mengambil masa lebih lama untuk menjarakkan kedudukan sebelum menumpaskan Lithuania 4-0 di Amsterdam.
Slovakia menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A. Poland, yang terselamat daripada kejutan untuk menang 3-2 di Malta, berakhir di tempat kedua Kumpulan G di belakang Belanda. Tempat kedua menjamin slot untuk play-off Eropah 16 pasukan pada Mac 2026.
Kemenangan 1-0 Ireland Utara ke atas Luxembourg di Belfast tidak mampu memperbaiki kedudukan mereka keluar daripada tempat ketiga dalam Kumpulan A, namun mereka tetap layak ke play-off berdasarkan prestasi dalam Liga Negara-Negara UEFA.
Dalam Kumpulan L, Croatia yang sudah pun memastikan kedudukan teratas, menjaringkan dua gol dalam 18 minit terakhir untuk bangkit dan menang 3-2 di tempat lawan menentang Montenegro. Republik Czech di tempat kedua membelasah Gibraltar 6-0. – AFP










