Hanya fokus buru kemenangan- Cklamovski

Hanya fokus buru kemenangan- Cklamovski

Pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim meledak gol tunggal bagi pasukan kebangsaan pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski enggan memikirkan apa sahaja kemungkinan yang bakal menimpa skuad negara susulan kemelut dokumentasi tujuh pemain warisan.

Isu berkenaan kembali hangat selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan alasan penuh penolakan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain terbabit.

FAM sebelum ini memaklumkan akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha mempertahankan pemain dan pasukan.

Jika keputusan CAS kelak tidak menyebelahi Malaysia, skuad kebangsaan dijangka berdepan impak besar apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berpotensi menjatuhkan hukuman berat, termasuk kemungkinan penolakan mata dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Situasi itu boleh menjejaskan impian Harimau Malaya untuk mara ke pusingan akhir di Arab Saudi, namun Cklamovski menegaskan perkara tersebut berada di luar kawalan pasukan kebangsaan.

Menurutnya, fokus utama beliau adalah mengutip sebanyak mungkin keputusan positif, termasuk aksi terakhir menentang Vietnam pada 31 Mac depan.

“Malam ini (kelmarin) kami masih di puncak kumpulan. Tiada apa yang berubah kecuali kami menang. Kami tidak kalah, kami jaringkan gol, kami kekalkan ‘clean sheet’. Itu sahaja perubahan.

“Fokus saya adalah perlawanan malam ini, mencipta kemenangan untuk semua orang di Malaysia. Kami akan menilai perlawanan, melakukan pemulihan dan membuat analisis bagaimana untuk menjadi lebih baik.

“Saya harap orang boleh bercakap mengenai bola sepak dan tersenyum kerana kami menang, dapat tiga mata dan kami di puncak kumpulan. Apa yang berlaku selepas ini, kami tidak tahu dan jika kami terlalu fikir mengenai sesuatu yang kami tidak boleh kawal, kami akan hilang semangat.

“Jadi mesejnya jelas, fokus, komited, kekal profesional dan kami buat kerja kami. Mentaliti saya seterusnya adalah bagaimana untuk kalahkan Vietnam, tamatkan saingan kumpulan tanpa kalah dan berada di puncak,” katanya.

Cklamovski mengakui kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA, namun fokusnya hanya mahu memastikan perkembangan positif skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu lebih baik jika situasi itu tiada, tetapi inilah realiti. Tugas kami adalah fokus pada apa yang perlu kami lakukan dan saya harap negara bangga dengan pemain, cara mereka di dalam dan luar padang.

“Itu yang kami boleh kawal. Saya bangga dengan mereka (pemain), bangga dengan staf dan bangga dengan komitmen yang kami tunjukkan. Bukan mudah menang dalam bola sepak antarabangsa. Kami lakukannya sepanjang tahun, tanpa kalah,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN