PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mengakui berdepan tekanan untuk beraksi pada penampilan sulung di pentas Sukan SEA 2025 Thailand, pada Disember depan.
Ainaa berkata, walaupun memiliki pengalaman beraksi di Sukan Komanwel Birmingham pada 2022, namun itu tidak dapat menghakis tekanan yang dialaminya kerana menjadi sandaran membawa pulang pingat.
“Ini Sukan SEA saya yang pertama. Teruja ada, tekanan pun ada. Sebelum ini, saya pernah bermain di Sukan Komanwel dan masih boleh mengawal perasaan serta tekanan.
“Masa saya pergi ke Sukan Komanwel tekanan kurang dirasai sebab tiada sasaran diletakkan. Tapi kali ini, saya perlu letakkan sasaran lebih besar untuk diri sendiri.
“Saya beraksi dalam acara individu di Sukan SEA manakala di Sukan Komanwel saya bertanding bagi acara beregu. Jadi, tekanan kali ini lebih besar,” katanya.
Ainaa meraih gangsa bagi acara individu wanita di Piala SEA pada Julai lalu menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas apabila melihat ia mampu menjadi batu loncatan dalam kariernya.
“Ya, salah satu sasaran saya tahun ini adalah memenangi Sukan SEA dan insya-Allah saya akan membawa pulang pingat emas. Sudah tentu akan ubah sesuatu terhadap apa yang Ainaa lalui sekarang,” katanya.
Sebagai rekod, Ainaa bersama gandingannya, Chan Yiwen tewas kepada rakan senegara Rachel Arnold dan Aifa Azman dalam aksi penentuan pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2022.-UTUSAN










