PETALING JAYA: Tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim berharap Harimau Malaya tidak ditimpa nasib malang dan berpeluang beraksi di Piala Asia 2027 sekali gus menjadi penampilan kedua berturut-turut.
Faisal atau turut mesra disapa Mickey, berkata dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana perasaannya jika skuad kebangsaan dihukum pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berikutan momentum pasukan ketika ini cukup cemerlang.
Sekiranya perkara itu berlaku, ia secara tidak langsung akan menjejaskan peluang Malaysia beraksi di kejohanan berprestij Asia itu yang dijadualkan berlangung di Arab Saudi.
“Saya tak tahu nak cakap apa kalau benda itu (Harimau Malaya dipotong mata dan tidak layak ke Piala Asia 2027) berlaku. Sudah tentu kita akan kecewa sebab kita dalam momentum yang baik.
“Kita menang semua perlawanan, kita ada baki lagi satu perlawanan untuk penutup atau (penentu) sama ada kita layak atau pun tidak. Apa-apa keputusan pun, sekarang ini kita kena beri yang terbaik untuk pasukan.
“Sebagai pemain kita mahu bermain di peringkat yang tertinggi dan kita berdoa yang terbaik supaya pasukan kebangsaan boleh bersaing di Piala Asia. Walaupun apa pun berlaku, kita kena teruskan apa yang kita perjuangkan untuk pasukan kebangsaan.
“Apa yang berlaku terhadap rakan-rakan (tujuh pemain warisan), kita sentiasa sokong dan doa yang terbaik untuk rakan-rakan kita. Pada saya, pemain yang ada dalam pasukan kena jalankan tanggungjawab sebaik mungkin, tak kira apa yang sedang melanda,” katanya.
Kemenangan 1-0 ke atas Nepal diperolehi menerusi gol tunggal Faisal sekali gus membolehkan skuad Harimau Malaya mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam lima perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 dan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan F.
Keputusan itu, menyaksikan Harimau Malaya mengumpul 15 mata dan skuad bimbingan Peter Cklamovski boleh dikatakan sudah sebelah kaki untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia di Arab Saudi.
Bagaimanapun, peluang itu berisiko terjejas susulan kemelut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan yang didakwa dipalsukan.-UTUSAN










