Cklamovski 'angkat kaki' hanya khabar angin

Cklamovski ‘angkat kaki’ hanya khabar angin

Peter Cklamovski bersama skuad Harimau Malaya selepas perlawanan menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khabar angin tular di media sosial yang mendakwa pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski bakal meninggalkan skuad kebangsaan selepas aksi berdepan Nepal adalah ‘palsu’.

Cklamovski yang dilantik menjadi ketua jurulatih pada Disember tahun lalu, difahamkan telah menandatangani kontrak selama dua tahun sehingga 2026.

Sejak malam kelmarin, tangkap layar yang mendakwa bekas pengendali FC Tokyo itu sudah membuat keputusan untuk ‘angkat kaki’ mula tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan penyokong.

Namun begitu, melihat kepada rekod cemerlang Cklamovski menerusi enam kemenangan dan sekali seri dalam tujuh aksi rasmi memberi gambaran jelas bahawa gosip itu dianggap tidak berasas.

Cklamovski sebelum ini tidak pernah terpalit dengan isu prestasi, sebaliknya sering menegaskan fokusnya hanya kepada perkara yang mampu dikawal, terutama usaha memperkemaskan permainan pasukan.

Beliau tidak pernah melayan suara-suara luar padang yang cuba mengganggu rentak Harimau Malaya.

“Bagi saya, mudah. Saya fokus pada apa yang boleh saya kawal untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik. Apa orang fikir atau kata, itu semua di luar kawalan saya.

“Saya hanya mahu Malaysia bangga dengan identiti bola sepaknya, bangga dengan keputusan yang kami catatkan. Harapan saya, kami dapat menamatkan tahun 2025 tanpa kalah, bermain dengan baik, menjaringkan gol dan mengelak bolos,” katanya.

Di bawah sentuhannya, Harimau Malaya kini berada pada prestasi terbaik dalam Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 apabila meraih 12 mata maksimum selepas menewaskan Vietnam, Laos (dua kali) dan Nepal.

Bagaimanapun, skuad negara turut berdepan tempias isu luar padang apabila pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan mencetuskan kontroversi sehingga mereka dikenakan penggantungan dan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Situasi itu semestinya sedikit sebanyak menguji kekuatan mental pasukan namun Cklamovski kekal tenang mengemudi bahtera.

Dengan pelbagai cabaran yang melingkari skuad negara, kehadiran Nepal di Bukit Jalil Selasa ini bukan sekadar perlawanan kelayakan tetapi medan membuktikan bahawa Harimau Malaya masih stabil, fokus, dan tidak goyah biarpun dihimpit desas-desus yang cuba menggoncangkan pasukan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN