KUALA LUMPUR: Perlawanan persahabatan bola sepak antara Co-opbank Pertama (CBP) dan Utusan Malaysia, kelmarin bukan sekadar medan merebut kemenangan.
Sebaliknya aksi yang berlangsung di Stadium Merdeka itu menjadi platform mengeratkan hubungan antara syarikat korporat dan pengamal media dalam suasana santai.
Pertemuan berkenaan menyaksikan pasukan Utusan Malaysia yang menampilkan persembahan terbaik berjaya menewaskan CBP dengan jaringan 4-2.
Kesemua jaringan dalam perlawanan itu hadir pada babak kedua, sekali gus membuktikan aksi di stadium keramat itu berlangsung sengit antara kedua-dua pasukan.
Ketua Pegawai Operasi CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata, perlawanan itu mencerminkan semangat kesukanan dan ukhuwah yang menjadi asas hubungan erat antara CBP dan Utusan Malaysia.
Menurutnya, penganjuran aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memperkukuh kerjasama strategik, tetapi menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan CBP.
“Ini sekaligus mengeratkan silaturahim serta mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih mesra antara kakitangan CBP dan wartawan,” katanya.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Aznan Bakar.-UTUSAN










