Cabaran fizikal menanti Farah di sukan SEA 2025

Cabaran fizikal menanti Farah di sukan SEA 2025

Nor Farah Mazlan muncul juara kategori bawah 50kg wanita pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet pencak silat negara, Nor Farah Mazlan bersedia memasuki medan Sukan SEA 2025 di Thailand dengan cabaran baharu apabila pertama kali beraksi dalam kelas B (50-55kg).

Farah terpaksa akur apabila kelas asalnya iaitu kelas A (45-50kg) tidak dipertandingkan tahun ini dan mengakui bahawa pertukaran kelas ini membawa cabaran fizikal yang jauh lebih besar.

Katanya, kelas B menuntut adaptasi yang lebih agresif apabila hampir semua pencabar dalam kelas B mempunyai kelebihan fizikal.

“Saya ini seorang yang rendah. Tinggi saya hanya 152 sentimeter. Dalam kategori A pun saya paling rendah. Bila masuk kategori B, semua memiliki tinggi sekitar 160 hingga 170 sentimeter. Dari segi fizikal memang sangat mencabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, kesukaran utama bukan terletak pada persiapan, tetapi perbezaan fizikal antara dirinya dan para pesaing.

Selain perbezaan fizikal, Farah turut menjangka tentangan hebat daripada dua negara utama iaitu Indonesia dan Vietnam sekali gus menjadikan kedua-dua negara ini sebagai fokus utama persiapannya.

“Indonesia adalah juara bertahan untuk kelas ini. Vietnam pula saya tidak pernah bersua. Tapi bila tengok cara dia main boleh tahan,” katanya.

Walaupun berstatus juara Sukan SEA 2023 dalam kategori A, Farah memilih untuk tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kali ini.

“Memang semua atlet mahu pingat emas, tapi kategori kali ini agak susah untuk saya. Saya cuma mahu buat yang terbaik,” ujarnya.

Selain Farah, terdapat dua lagi wakil negara pencak silat wanita iaitu Syafiqah Hamzah yang bertanding dalam acara tunggal dan Ummi Mashitah dalam kelas C.

“Saya harap dapat bawa pulang pingat emas untuk Malaysia. Doakan kami semua,” katanya.

Kini, atlet pencak silat negara sedang menjalani latihan pusat di Cameron Highlands bermula 17 sehingga 30 November ini sebagai persediaan akhir mereka sebelum bertempur di Thailand.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN