Bola tampar sasar gangsa Sukan SEA

Bola tampar sasar gangsa Sukan SEA

TASHA Mae (dua dari kanan) dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal (dua dari kiri) akan membawa cabaran negara di Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bola tampar negara berada di landasan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dengan sasaran realistik meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Pengerusi Persatuan Bola Tampar Pantai Malaysia, Hean Boon Yeow berkata, persiapan pasukan berjalan lancar melibatkan kedua-dua acara iaitu bola tampar pantai dan dalam dewan.

“Bagi pasukan wanita, latihan dijalankan secara berfasa di Temerloh di bawah kendalian jurulatih, Ace Chia. Mereka sudah berlatih beberapa bulan dan menunjukkan komitmen yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Boon Yeow turut memaklumkan, skuad lelaki menjalani latihan di Shah Alam, namun berdepan sedikit kekangan apabila sebahagian besar pemain merupakan pelajar universiti.

“Ada universiti menetapkan syarat supaya pemain menamatkan peperiksaan sebelum dibenarkan menyertai latihan penuh. Namun, kami sedang mencari jalan terbaik bagi memastikan persiapan tetap berjalan seperti dirancang,” ujarnya

Tambah beliau, kontinjen negara akan diwakili pemain muda berusia bawah 21 tahun, sekali gus memperlihatkan usaha persatuan memberi ruang kepada bakat pelapis untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Untuk acara bola tampar dalam dewan, Malaysia hanya menghantar pasukan wanita, manakala bagi bola tampar pantai, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita akan mengambil bahagian.

“Acara bola tampar pantai di Sukan SEA dijalankan dalam format berpasukan, di mana satu pasukan terdiri daripada dua pasangan, Pasukan A dan Pasukan B,” katanya.

Dalam pada itu, Boon Yeow menyifatkan prestasi skuad remaja negara di Kejohanan Asia Youth Games di Bahrain baru-baru ini sebagai petanda positif menjelang temasya dwi-tahunan itu.

“Prestasi cemerlang di Kejohanan Remaja Asia memberi momentum baik untuk Sukan SEA. Tambahan pula, pasukan kita sudah pun layak ke Youth Olympic Games 2026 di Senegal.

“Ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat bola tampar pantai negara,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN