Badminton bukan sekadar pelengkap kuota Sukan SEA

Badminton bukan sekadar pelengkap kuota Sukan SEA

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menjadi sandaran Malaysia di Sukan SEA 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton kebangsaan tampil pada temasya Sukan SEA di Thailand, Disember depan bukan sekadar melengkapkan kuota, tetapi wajib membawa pulang pingat emas selepas barisan pemain senior menjadi taruhan Malaysia.

Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Roslin Hashim berkata, Malaysia membawa pasukan terkuat untuk Sukan SEA kali ini dan sudah tentu pingat emas menjadi sasaran skuad negara.

“Sebab kalau kita tengok kedudukan ataupun pencapaian pemain-pemain yang pergi ke Sukan SEA macam beregu lelaki, beregu campuran dan beregu wanita, memang mereka harus dapatkan pingat emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk ke Sukan SEA, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain-pemain utama pada dengan beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai senarai skuad kebangsaan.

Selain Aaron-Wooi Yik, turut dihantar ke negara tetangga itu ialah beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang dilihat mampu menjadi prospek terbaik Kontinjen Malaysia bagi menggondol pingat emas dalam sektor tersebut.

Tidak ketinggalan juara dunia, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei yang juga berada dalam senarai untuk sektor beregu campuran, manakala, kehadiran gandingan No. 5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memungkinkan strategi pecah ganding dalam saingan beregu lelaki.

Bagaimanapun, Roslin berkata, situasi berbeza dengan perseorangan lelaki dan wanita yang semua sudah sedia maklum, pencapaian mereka tidak sebagus sektor beregu.

Katanya lagi, pemain-pemain negara yang dihantar ke Thailand, rata-ratanya memiliki ranking dunia yang bagus dan saingan pula bakal hadir daripada kuasa besar, Indonesia serta tuan rumah, Thailand.

“Jadi, saya rasa dua negara ini sahaja yang mungkin akan memberi saingan ataupun tentangan kepada wakil Malaysia.

“Jadi, kita harapkan mereka bawa pulang pingat emas kerana para pemain ini pergi ke Thailand bukan sekadar melengkapkan kuota dan saya yakin, sasaran sudahpun diberikan kepada skuad Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN