PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan venue pertandingan bagi beberapa sukan pada Sukan SEA Thailand yang sepatutnya diadakan di Songhkla pada Disember ini akan dipindahkan ke Bangkok dan Chonburi.
MOM dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Thailand (THASOC) mengadakan mesyuarat bagi mengubah venue 10 sukan susulan banjir yang melanda di wilayah selatan Thailand itu.
Selain perubahan di Songkhla, sukan biliard dan snuker, yang pada asalnya dijadualkan di Chonburi, akan dipindahkan ke Thunder Dome, Muang Thong Thani, di pinggir bandar Bangkok dan dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 17 Disember ini.
“Ini adalah maklumat rasmi dan terkini mengenai penganjuran Sukan SEA ke-33 Thailand 2025, seperti yang disampaikan oleh Pejabat SEAGF dan THASOC.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap penganjuran Sukan SEA ke-33, khususnya berkaitan 10 sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di wilayah Songkhla, yang kini telah dipindahkan ke Bangkok dan Chonburi.
“Kami akan memaklumkan semua pihak dengan sewajarnya sebaik sahaja menerima kemas kini rasmi daripada Pejabat SEAGF dan THASOC,” Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali.
Sembilan sukan yang dipindahkan ke Bangkok adalah muay thai di Stadium Lumpinee Boxing, bola sepak di Stadium Rajamangala, catur di Hotel Bazaar Bangkok, kabadi di Universiti Teknologi Rajamangala, wushu dan karate di Pusat Kerajaan Chaeng Watthana, silat di Arena IMPACT, judo di Universiti Teknologi Thanyaburi serta petanque di Universiti Valaya Alongkorn Rajabhat.
Sukan tinju pula akan diadakan di Pacific Park Sriracha yang terletak di Chonburi.
MOM kini sedang bekerjasama rapat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) terbabit bagi memuktamadkan segala tempahan perjalanan dan penginapan berdasarkan venue pertandingan baharu yang ditetapkan itu. – UTUSAN










